Tafakur Seorang Hamba Allah
Seorang hamba Allah bertafakkur mengenang hari-hari yang bakal dilaluinya, setelah lebih empat puluh tahun diizinkan Allah mengecapi nikmatNya di dunia ini. Betapa dunia ini bukan sahaja sementara malah terlalu singkat kalau dibandingkan dengan Akhirat. Satu hari di Akhirat sama panjangnya dengan seribu tahun di dunia. Andainya Allah SWT beri peluang untuk hidup hingga mencecah usia 65 tahun itu ertinya bersamaan dengan 45 minit menurut perhitungan Akhirat. Ya, sehari di akhirat itu umpama seribu tahun di dunia.
وَإِنَّ يَوۡمًا عِندَ رَبِّكَ كَأَلۡفِ سَنَةٍ۬ مِّمَّا تَعُدُّونَ
"...sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu yakni akhirat adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung." (Al-Hajj 22:47)
Andainya diambil kira masa tidur dan masa alam kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa dan masa yang terbuang secara sia-sia mungkin kehidupan sebenar dalam keadaan penuh sedar hanya sekitar 30 minit menurut masa Akhirat.
Hamba Allah itu melepaskan keluhan alangkah tidak bermaknanya kehidupan dunia ini berbanding kehidupan Akhirat yang kekal abadi. Namun dia merasa hairan bagaimana dirinya lebih asyik memburu kehidupan singkat ini sehingga melupai kehidupan yang abadi itu.
Ya, aku manusia, makhluk yang sering lupa. Sesungguhnya manusia ini memang lalai dan leka serta mudah lupa akan hakikat kehidupan.
Di waktu lain hamba Allah tersebut membayangkan betapa indahnya syurga penuh nikmat yang tidak pernah terlintas oleh akal, tidak pernah dilihat oleh mata dan tidak pernah didengar oleh telinga. Di syurga tiada sebarang kesusahan, kesakitan atau keresahan. Tidak panas yang merimaskan dan tidak sejuk yang membataskan pergerakan.
Sesuatu yang dinikmati seribu tahun tidak hilang rasa nikmatnya. Para bidadari disediakan paling kurang 70 orang. Kekuatan lelaki pada ketika di syurga seratus kali ganda. Kenikmatan yang berlapis-lapis itu tidak pernah menjemukan. Dan apa saja yang terlintas atau diniatkan akan menjelma secara spontan.
Kemudian dia terbayangkan pula neraka yang penuh azab sengsara. Seorang yang paling ringan seksa neraka ialah dipasangkan kasut dikakinya yang dicipta dari bara api neraka, apabila dipakai mendidih otaknya. Itupun dia merasakan seolah-olah kemuncak segala azab. Betapalah kalau menerima seksa neraka yang sebenar. Percikan api neraka itu andainya jatuh ke bumi nescaya hancur seluruh bumi ini. Lantaran itulah maka Nabi Yahya a.s melarikan diri ke bukit memencil diri dan menangis tanpa henti hingga di pipinya ada kesan aliran air mata.
Demikian indahnya syurga dan begitu azabnya neraka lalu hamba Allah itu bertanya kepada dirinya sendiri, "Apakah yang engkau mahu wahai diri?" Lantas hatinya sendiri menjawab, "Aku mahu kembali ke dunia dengan penuh penyesalan dan aku mahu memenuhi seluruh umur dengan berbuat kebajikan."
Selepas itu hamba Allah itu kembali sedar dari tafakkurnya dan dengan penuh keinsafan dia berkata: "Eh! Mengapa aku minta kembali ke dunia untuk menyesal, bertaubat dan berbuat kebajikan? Bukankah aku kini sedang berada di dunia? Untuk apa aku minta kembali ke dunia di saat aku tidak mungkin akan dikembalikan lagi ke dunia ketika penyesalan di Akhirat nanti?"
"Apa amal yang telah kubuat bagi bekalan di akhirat nanti?" Hamba Allah itu terkenangkan betapa sedikitnya amal yang dibuat, sedang usia telah melebihi 40 tahun. Kecut perut mengenangkan apa yang dipesan Imam Al Ghazali:
Anakku tercinta,
Semaklah nasihat Rasullullah ﷺ ini. Tanda-tanda kebencian Allah terhadap seseorang ialah ketika ia menyia-nyiakan waktu dengan melakukan hal-hal yang tiada guna. Umur seseorang akan berlalu, tetapi jika ia tidak menggunakannya untuk beribadah yang diperintahkan Allah, pantas ia menyesal sepanjang masa. Barangsiapa telah berumur lebih dari empat puluh tahun, sedangkan amal baiknya belum mampu mengalahkan amal buruknya, bersiap-siaplah ia masuk neraka.
Neraka? Neraka yang itukah? Neraka yang Allah sediakan bagi hamba-hambaNya yang berdosa, yang engkar dan derhaka. Tak mungkin aku tertahan merasai azab neraka yang amat dahsyat itu. Tak mungkin aku sanggup menelan zaqqum, sejenis buah neraka yang amat pahit rasanya, menjadi makanan rasmi penduduk neraka. Tak mungkin aku sanggup meminum air panas yang menggelegak, yang diminum tidak puas-puas, malah bertambah dahaganya. Terburai perut tetapi terpaksa terus makan dan minum minuman neraka.
Aaahh! keluh berat hamba Allah itu, mengenang nasib yang belum tahu. Dia tahu Allah Maha Pengampun dan Maha Penerima taubat. Maka dia bertaubat. Apakah taubatku di terima? Nasibku belum tahu. Wahai diri...menangislah selalu, agar tangisan airmata itu akan memadamkan julangan api neraka buatmu..pujuk hati kecil si hamba Allah.
Anak-anakku? Isteriku?..oh! itu amanah Allah. sudahkah aku mendidik mereka agar mentaati Allah? Bukankah Allah telah perintahkan,
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارً۬ا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡہَا مَلَـٰٓٮِٕكَةٌ غِلَاظٌ۬ شِدَادٌ۬ لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan." (At-Tahriim 66:6)
Berapa banyak ilmu yang telah ku ajar. Berapa banyak syariat yang dapat mereka patuhi. Berapa banyak derhaka yang telah mereka buat...yang semua itu akan menarikku tersungkur walau sudah dipintu syurga. Banyak lagi yang belum ku buat. Walau kini nampak mereka taat, alhamdulillah, aku bersyukur ya Allah, tapi biarlah ketaatan itu ikhlas kerana Allah.
Air mata mengalir dan terus mengalir dari dua mata si hamba Allah. Mata? oh mata, satu nikmat yang Allah beri agar hamba itu dapat melihat kebesaran dan keindahan Allah. Tapi untuk apa mata itu digunakan selama lebih empat puluh tahun ini? Untuk bersyukur atau untuk kufur akan nikmat Allah itu? Berapa banyak haram yang dilihat, walau ditolak-tolak, namun nafsu tetap menguasai..akhirnya kalah jua. Itu baru mata, belum lain anggota.
Hamba Allah itu memejam matanya, gelap dan kelam pandangan. Bagaimana agaknya gelap dalam kubur nanti? Apa cahaya yang kubawa untuk menerangi alam barzakh itu?
Hamba Allah itu teringat Rasulullah ﷺ pernah bersabda: "Seorang manusia apabila diletakkan di dalam kuburnya, dan sahabatnya berpaling pulang dan dia mendengar suara sandal mereka, akan datang kepadanya dua Malaikat dan mendudukkannya, dan bertanya, Siapakah Tuhanmu? Siapakah Nabimu? Apakah Agamamu? Maka dia menjawab: Allah adalah Tuhanku, Muhammad adalah Nabiku, Islam adalah Agamaku. Terdengarlah seruan dari langit, Benar hambaku, hamparkan baginya tikar di syurga, lalu angin dan wangi surga datang kepadanya. kemudian diluaskan seluas mata memandang, seorang yang rupawan datang menemaninya yang tiada lain amal solehnya" (HR. Ahmad, Abu Daud, Hakim dan Baihaqi)
Amal soleh? Apa amal soleh yang sudahku buat? Rasanya aku belum berbuat apa-apa yang soleh. Maka berazamlah hamba Allah itu, akan beramal soleh, namun terasa kepayahan dek kerana nafsu ammarah masih bersarang dijiwanya. Nafsu yang senantiasa mengajak kepada kejahatan.
Namun dia tetap yakin, Allah tidak akan mensia-siakannya. Dia cuba bersangka baik dengan Allah yang Ar-Rahman, Ar Rahim, Al Ghafur. Bila dikenangkan kemurahan Allah, Maha pengampunnya Allah hati yang bergelojak itu kembali tenang.
Lalu hatinya berdetik, "Ya Allah, Wahai Tuhanku. Bila mengenangkan Qahhar-Mu, Jabbar dan
Syadiidul ‘iqab-Mu, rasa mahu putus jantung hatiku, kerana tidak lepas dari seksa-Mu. Hamba-Mu rasa bagaikan tiada harapan, siapakah yang dapat membersihkan diri ini dari dosa yang memburu setiap hari?
Tuhanku, bila aku mengenangkan Ghofurur-Rahim-Mu, putus asaku menghilang, semangat pulih semula, lalu harapanku pada-Mu subur kembali."
Maka hamba Allah itu terus menerus memohon keampunan dari Allah atas dosa-dosanya yang lalu, serta berusaha membuat bekal amal bagi hari-hari yang payah di barzakh dan akhirat nanti.
Dia mengingatkan dirinya, "Wahai diri, ingatlah kehidupan Akhirat itulah kehidupan yang hakiki dan kekal abadi. Janganlah kerana memburu nikmat sedikit di dunia ini hingga derhaka kepada Allah SWT, yang akibatnya terlepas dari nikmat yang tidak terhingga lagi kekal. Janganlah kerana takut kepada kesusahan sedikit di dunia ini hingga lalai dari mentaati Allah SWT, hingga menanggung azab neraka yang dahsyat dan kekal."
محمد فضلي بن يوسف
29 Rabiul Akhir 1432H
03 April 2011
Silakan tag@share
(Jika ingin kongsikan di blog, atau di copy paste ke nota anda, sila nyatakan nama saya dan buat pautan ke FB saya, agar saya mudah menjawab segala persoalan yang timbul dari artikel ini. Link terus ke FB saya: http://facebook.com/mfadli11 atau ke note ini, http://www.facebook.com/note.php?note_id=10150201782151719)
No comments:
Post a Comment